Rabu, 01 Januari 2014

Browse Manual » Wiring » » » » » » » » » » » » VVIP Bergelar DATUK Di Sabah Dan DATUK SERI Di Selangor Disiasat Kes Pukul

VVIP Bergelar DATUK Di Sabah Dan DATUK SERI Di Selangor Disiasat Kes Pukul


KOTA KINABALU –  Polis Sabah telah menyoal siasat seorang ‘Datuk’ yang dikatakan terlibat menyerang seorang lelaki berusia 62 tahun di kawasan komersial Lido, awal hari Ahad.

‘Datuk’ itu, yang juga merupakan pemimpin persatuan komuniti asli di Sabah kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas disoal siasat, apabila beliau hadir sendiri di ibu pejabat polis Karamunsing tidak lama kemudian.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pada Isnin berkata mereka menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa dia dipukul dan ditendang oleh Datuk berkenaan, yang juga menunjukkan pistolnya kepada lelaki itu sebelum dibawa berlalu pergi oleh pemandunya.

“Kami telah menyoal siasat Datuk itu dan beliau kini berada di bawah jaminan polis manakala senjatanya, pistol, juga telah dirampas,” katanya.

Hamza berkata, mereka akan meneruskan kes itu walaupun mangsa telah menarik balik laporan polis pada sebelah petang.

“Kita akan merujuk kes ini kepada Peguam Kanan Persekutuan (SFC) kerana ini bukan perkara kecil,” katanya, sambil menambah terpulang kepada SFC sama ada untuk meneruskan kes itu atau tidak.
Difahamkan bahawa Datuk berkenaan telah bertindak secara agresif terhadap lelaki berumur itu selepas diberitahu supaya mengalihkan kereta BMW beliau yang diletakkan di tengah-tengah jalan dan menghalang lalu lintas dalam kejadian jam 7 pagi itu.


Di KUALA LUMPUR, satu laporan polis dibuat terhadap seorang individu menggelarkan dirinya ‘Datuk Seri’, didakwa menampar seorang pengawal keselamatan yang memintanya untuk mengalihkan kereta yang diletakkan di tempat yang tidak mengikut peraturan di sebuah pusat membeli-belah di Bandar Baru Klang.

Bekas anggota polis Nepal, Prakash Adhikari, 35, berkata, ‘Datuk Seri’ dan sekumpulan lelaki itu menaiki kereta Mercedes Benz hitam yang diletakkan di tempat letak kereta VIP di hadapan Centro Mall di sini pada kira-kira pukul 5 petang Rabu.

Beliau berkata, nombor pendaftaran kenderaan itu tidak didaftarkan untuk kemudahan mana-mana tempat letak kereta berkenaan tetapi lelaki tersebut tidak mengendahkan papan tanda tidak boleh meletakkan kenderaan dan kon trafik, malah kemudiannya meletakkan kenderaannya di kawasan berkenaan.

“Saya beritahu dia yang dia tidak boleh letak kereta di situ kerana saya tidak kenal nombor pendaftaran keretanya dan saya minta dia untuk pergi ke kawasan tempat letak kereta seperti yang digunakan oleh mereka yang lain.

“Dia kemudiannya berkata kepada saya, ‘Adakah awak tahu siapa saya? Saya ni Datuk Seri… awak Pati (Pendatang Asing Tanpa Izin) tak guna,” kata Prakash.

Pengawal keselamatan itu terus berkeras meminta lelaki terbabit untuk mengalihkan kereta dan cuba untuk menghubungi pengurusan pusat membeli-belah apabila lelaki tersebut menampar mukanya sebanyak dua kali.
Lelaki itu dan teman-temannya kemudian beredar untuk pergi menjamu selera di pusat membeli-belah berkenaan dan membiarkan keretanya diletakkan di kawasan tersebut.

“Terdapat kesan lebam di mula saya dan bibir saya berdarah. Saya memberitahu pihak pengurusan pusat membeli-belah mengenai perkara itu tetapi mereka tidak mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki terbabit.

“Saya tidak buat apa-apa yang salah, saya hanya cuba untuk melakukan kerja saya,” katanya.
Penyelia Prakash, Awaluddin Kassim berkata, lelaki yang dikatakan sebagai ‘Datuk Seri’ itu menggelarkan dirinya sebagai Manimaran dari Pahang.

Awaluddin menambah bahawa beliau membuat laporan polis mewakili Prakash di Balai Polis Bandar Baru Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong mengesahkan laporan itu dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – Mstar.com.my

Tidak ada komentar:

Posting Komentar